Sunday, November 8, 2009

Info terkini banjir



Jumlah mangsa banjir di Kelantan pada petang ini semakin meningkat manakala di Terengganu jumlah mereka yang berada di pusat pemindahan berkurangan berikutan semakin ramai telah boleh pulang ke rumah masing-masing. Ketua Pegawai Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri Kelantan, Shahnaz Nurul Amin berkata sehingga pukul 3 petang ini bilangan mangsa banjir yang dipindahkan di seluruh negeri meningkat kepada 2,328 berbanding 2,023 tengah hari tadi.

Mereka terdiri daripada 1,322 di Pasir Mas, Tanah Merah (706); Machang (183); Kota Baharu (29); Bachok (61); dan Pasir Puteh (27), katanya ketika dihubungi Bernama.  Sementara itu, katanya Bilik Gerakan Banjir Kuala Krai yang dibuka pagi semalam ditutup petang ini berikutan semua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan telah pulang ke rumah masing-masing.

Katanya Jawatankuasa Bencana Alam Negeri kini membuat persediaan rapi untuk menghantar bekalan makanan di beberapa pangkalan hadapan di jajahan Tumpat yang biasanya akan dilanda banjir apabila air di hulu Sungai Kelantan semakin surut. Katanya pihak jawatankuasa bencana alam daerah Pasir Mas menghadapi masalah untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di Masjid Gabus, Rantau Panjang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual kerana beberapa jalan terputus hubungan akibat ditenggelami air.

Bacaan di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya 10.42 meter (bahaya 9 meter) tetapi bacaan di sungai yang sama di Jenob, Tanah Merah, paras air kini telah surut ke bawah paras bahaya 22.63 meter (bahaya 23.50 meter). Bacaan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah juga masih melepasi bahaya 17.26 meter (bahaya 16 meter). Katanya hanya jalan utama menghubungkan Kota Baharu ke Pantai Cahaya Bulan di Kampung Tikat masih terputus hubungan.

DI TERENGGANU, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negeri (MKN) berkata semakin ramai mangsa banjir meninggalkan pusat pemindahan banjir untuk pulang ke rumah masing-masing.
Sehingga pukul 4 petang ini hanya tinggal 1,107 daripada 278 keluarga masih ditempatkan di 21 pusat pemindahkan di daerah Besut, Dungun, Setiu dan Hulu Terengganu, katanya.

Katanya di Besut, masih ada seramai 32 mangsa banjir daripada sembilan keluarga berada di dua pusat pemindahan, Dungun (534 daripada 119 keluarga di tujuh pusat pemindahan), Setiu (432 daripada 111 keluarga di 10 pusat pemindahan) manakala di Hulu Terengganu hanya tinggal 109 daripada 39 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan banjir.

Kebanyakan mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan juga telah dibenarkan pulang namun ada yang memilih untuk terus tinggal di pusat berkenaan buat sementara waktu kerana khuatir gelombang kedua banjir berlaku. "Sebanyak 32 pusat pemindahan telah ditutup sejak tengah hari tadi, namun pegawai petugas MKN dan 19 agensi terlibat sentiasa peka dengan perkembangan terbaru situasi banjir. Pusat pemindahan akan dibuka semula sekiranya banjir yang mulai pulih hari ini berlaku lagi dalam masa terdekat,” katanya.
Paras air sungai juga semakin surut, dengan paras air di hampir semua sungai berada di bawah paras waspada.

Semua jalan utama di daerah-daerah yang sebelum ini teruk dilanda banjir kini boleh dilalui, kecuali jalan Pengkalang Merbau Tiong-Pelong ditutup kepada kenderaan ringan kerana dinaiki air setinggi 0.6 meter, manakala jalan Permaisuri-Hulu Seladang ditutup kepada semua kenderaan kerana ditenggelami air sehingga satu meter.

Jalan utama Terengganu-Pahang dan Terenganu-Kelantan tidak terjejas dan boleh dilalui semua kenderaan, katanya. Di ALOR SETAR, seramai 474 orang di Daerah Padang Terap telah dipindahkan ke 11 buah pusat pemindahan di daerah itu petang ini.  Jurucakap bilik gerakan banjir, Salim Mahmud ketika dihubungi berkata jumlah itu membabitkan 119 keluarga dari 11 buah kampung di daerah berkenaan.

"Antara kampung terlibat ialah Kampung Tanjung, Kuala Jani, Kuala Semeliang, Rambutan, Kejai dan Malau”. Katanya paras air Sungai Padang Terap kini melebihi paras bahaya 19 meter (bahaya 17 meter).

Bah..melanda lagi..

Bah..
air bah muncul lagi
Tanpa diundang ia datang
memenuhi segenap ruang
Bah
Berlari laju
mengikut arus
menyusup segenap kawasan yang mahu
melingkari seluruh duniawi
menyentap jiwa seluruh insan yang ngeri

Bah
kau muncul lagi
kau datang membawa diri tanpa disedari
kau membanjiri segenap tubuh muka bumi
meratah harta benda yang dimiliki
setelah itu
kau pergi dengan senang hati
setelah segalanya musnah habis

Bah
ada hikmahnya
kau datang lagi
bukannya kerelaan hati kau bah
hanya kerna perintah Ilahi
disebabkan sikap kami manusia yang makin keji


Bah
kau sebenarnya
datang sebagai pengajaran
buat kami manusia yang alpa dengan keduniaan
lupa daratan dengan kuasa Tuhan
Individualistik dengan kebendaan
Ingkar dengan ajaran Islam


Terima kasih Bah
Kau cukup menginsafi seantero duniawi
membuat manusia sedar
bahawa masih ada lagi kuasa Tuhan yang Satu
yang Berkuasa menentukan terang gelapnya sebuah kehidupan.

mama_ssmgreen